UPKO Ranau Sumbang Kepala Singa Semarakkan Tahun Baru Cina 2025

29 Januari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
RANAU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Ranau mengambil langkah proaktif melestarikan budaya tempatan dengan menyumbangkan tiga kepala singa sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025.
Penyerahan dilakukan Ketua Bahagian UPKO Ranau, Georgina George bagi mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Georgina berkata, sumbangan berkenaan diterima oleh tiga persatuan utama di daerah Ranau iaitu Persatuan Peranakan Tiong Hwa Ranau, Tarian Naga dan Singa Kinabalu Ranau dan Persatuan Singa Chon Chu Kung Sabah.
Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Ewon yang juga Presiden UPKO Nasional untuk memperkukuh perpaduan dan menghormati warisan kebudayaan pelbagai kaum di Sabah.
“UPKO sentiasa menekankan pentingnya memelihara tradisi budaya, seperti tarian singa dan naga, sebagai elemen yang menyatukan komuniti pelbagai kaum.
"Sokongan terhadap aktiviti kebudayaan ini bukan saja memperkukuh perpaduan masyarakat, tetapi juga memupuk semangat muhibah dalam kalangan pelbagai etnik di negeri ini," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Georgina turut menyampaikan penghargaan kepada Ewon atas keprihatinannya dalam menyokong aktiviti budaya dan kepada UPKO Ranau yang menjayakan inisiatif ini.
Georgina menjelaskan bahawa sumbangan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perpaduan dan keharmonian antara kaum, terutama di Sabah yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
"Dalam konteks Tahun Baru Cina, kepala singa merupakan simbol penting dalam persembahan tradisional yang sering dikaitkan dengan keberuntungan, kesejahteraan, dan semangat kolektif masyarakat.
“Dengan adanya sumbangan ini, persatuan di Ranau kini lebih bersedia untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina 2025 dengan penuh warna dan tradisi." katanya.
Sementara itu, wakil Persatuan Peranakan Tiong Hwa Ranau, Alldem Chia berkata, dia amat menghargai sumbangan kepala singa yang diberikan Presiden UPKO kepada mereka.
"Ini memberikan semangat baru kepada ahli-ahli kami untuk terus memelihara warisan budaya," katanya.
Comments