UPKO Sumbang Peralatan Siar Raya Kepada Gereja Anglican St. Paul Ranau

14 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
RANAU: Gereja Anglican St. Paul Ranau menerima sumbangan kewangan daripada Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, untuk pembelian peralatan sistem siar raya.
Sumbangan disampaikan Ketua UPKO Bahagian Ranau, Georgina George kepada Paderi Penguasa Gereja berkenaan, Johnny Mattheous Mailuhu dalam satu majlis ringkas, semalam.
Georgina ketika ditemui berkata, sumbangan berkenaan adalah susulan permohonan rasmi pihak gereja yang dikemukakan kepada Ewon semasa perasmian sambutan Tahun Baharu Cina UPKO Ranau pada 8 Februari lalu.
"Kami memahami kepentingan sistem siar raya dalam aktiviti gereja, termasuk dalam penyampaian khutbah dan komunikasi dengan jemaah.
“Oleh itu, UPKO berbesar hati untuk memberikan sumbangan ini agar ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.
Georgina turut menegaskan, UPKO sentiasa komited dalam membantu keperluan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama atau kaum.
Katanya, sumbangan itu merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan UPKO di seluruh Sabah.
“Ewon sebelum ini sering menekankan kepentingan sokongan kepada komuniti, terutama dalam aspek pendidikan, keagamaan dan sosial,” katanya.
Sementara itu, Johnny ketika ditemui berkata, beliau mewakili gereja Anglican St. Paul Ranau menyatakan penghargaan mereka terhadap bantuan yang diberikan.
Katanya, mereka percaya bahawa sumbangan ini akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dalam gereja dan memudahkan komunikasi semasa upacara keagamaan.
“UPKO jelas turut memainkan peranan dalam memperkukuh kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kemudahan yang diperlukan oleh semua institusi keagamaan di negeri ini,” katanya.
Comments