UPKO teruskan aktiviti amal mingguan di Sembulan
17 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meneruskan aktiviti amal mingguan untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan miskin tegar di Kampung Sembulan Lama dan Kampung Sembulan Baru, Kota Kinabalu bagi memastikan kebajikan masyarakat, khususnya golongan miskin bandar, terus dibela.
Pada Ahad, program kemasyarakatan ini diteruskan dengan diketuai oleh Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu, Dennison R. Indang dan turut disertai oleh rakan-rakan dalam kepimpinan UPKO Kota Kinabalu.
Dennison merakamkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, atas sumbangan dan sokongan berterusan beliau terhadap program amal ini.
Dennison menegaskan bahawa sokongan ini amat penting dalam menjayakan inisiatif kebajikan yang dijalankan secara mingguan.
"Diharapkan bantuan yang diberikan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban dan membawa sinar keceriaan kepada para penerima. Walaupun sumbangan ini mungkin tidak besar, kami berusaha sedaya mungkin untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah," kata Dennison.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS) turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Katanya kejayaan program ini adalah hasil kesepakatan semua pihak yang sentiasa bersama-sama dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
Comments