top of page
  • nabalunews

UPKO teruskan penyampaian bantuan kepada mangsa kebakaran di Kg Penangah, Tongod

Mohina melawat mangsa ribut di Kampung Minusuh, Tongod dan menyampaikan sumbangan tunai. Mangsa ditempatkan di pusat komuniti Kampung Minusuh

18 September 2024


TONGOD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini meneruskan misi penyampaian sumbangan dan bantuan dalam usaha meringankan beban mangsa kebakaran di Kampung Penangah, Tongod yang kehilangan harta benda dan tempat tinggal dalam tragedi pada 15 September itu.


Siang tadi, Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan, Mohina Sidom yang juga Ketua Wanita UPKO Pusat melawat mangsa kebakaran yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Penangah, Tongod dan menyampaikan sumbangan tong gas.


Semalam, Mohina menyampaikan sumbangan tunai berjumlah lebih RM13,000 kepada 82 ketua isi rumah di PPS berkenaan.


Manakala UPKO Telupid turut menghantar bantuan berupa air mineral, pakaian dan makanan kepada mangsa kebakaran semalam.

Penghantaran sumbangan tong gas ke PPS Kampung Penangah, Tongod

Sumbangan ini merupakan hasil inisiatif Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, bersama ahli-ahli majlis tertinggi UPKO yang turut menyumbang bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Penangah.


Antara penyumbang utama ialah Datuk Ewon yang menyumbangkan RM10,000, diikuti oleh beberapa pemimpin UPKO lain dan ahli masyarakat.


Kebakaran pada petang 15 September lalu itu menyebabkan 56 rumah musnah dan 303 orang kehilangan tempat tinggal.


Daripada 303 orang mangsa kebakaran yang kini ditempatkan di PPS Dewan Kampung Penangah, Tongod, 96 adalah kanak-kanak, 13 bayi, 28 warga emas dan 2 orang kurang upaya (OKU).


Selepas menghantar bantuan ke Kampung Penangah, Mohina kemudiannya meneruskan misi penyampaian bantuan bagi meringankan beban mangsa ribut di Kampung Minusuh, Tongod.


Di sini, beliau menyampaikan sumbangan tunai kepada mangsa yang kini ditempatkan di pusat komuniti Kampung Minusuh.


Mohina turut melawat dan menyampaikan sumbangan takziah kepada sebuah keluarga yang kehilangan ibu di Kampung Tongodon, Tongod.

留言


bottom of page