Usaha Kebajikan Melalui Inisiatif I Care Kadamaian Diteruskan

19 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD – Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, melalui Kelab Kebajikan Kadamaian, terus melaksanakan inisiatif kebajikan menerusi program I Care Kadamaian. Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen untuk membantu masyarakat yang memerlukan, terutamanya golongan kurang berkemampuan dan warga emas.
Terbaru, dua penerima telah menerima sumbangan katil boleh laras hasil inisiatif Yayasan Bank Rakyat (YBR) melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Penerima pertama, Johny Simun dari Kampung Bayayat, Kota Belud, manakala penerima kedua, Nuli Tuak dari Kampung Tamu Darat, adalah seorang warga emas yang memerlukan bantuan.
Sumbangan ini direalisasikan melalui usaha Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, yang juga merupakan ADUN Kadamaian.

Penyerahan katil boleh laras ini dilakukan oleh ahli Kelab Kebajikan Kadamaian serta Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin.
Program I Care Kadamaian bukan sekadar inisiatif jangka pendek, tetapi merupakan usaha berterusan untuk memastikan kebajikan masyarakat di Kadamaian terus terjaga. Melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, lebih ramai golongan memerlukan dapat menikmati manfaat daripada sumbangan yang diberikan.
Pusat Khidmat ADUN Kadamaian komited untuk memperluaskan program ini dengan sokongan berterusan daripada agensi berkaitan, badan kebajikan, dan masyarakat setempat.
תגובות