top of page
nabalunews

Usaha menstabilkan bekalan elektrik di Jalan Cecily, Sandakan giat dilakukan

12 November 2024


SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata, kabel elektrik lama di kawasan Jalan Cecily di sini, sedang diganti secara berperingkat bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil khasnya pada waktu puncak antara jam 7 malam hingga 10 malam. 


Sebelum ini, pihaknya juga menerima  aduan penduduk mengenai masalah bekalan kuasa yang tidak stabil dipercayai akibat peningkatan penggunaan elektrik.


“Penduduk Jalan Cecily telah lama menghadapi masalah bekalan elektrik yang tidak stabil," katanya.


"Sesetengah rumah hanya menerima bekalan sekitar 13 hingga 15 kilowatt-jam (kWh), jauh lebih rendah daripada keperluan harian," tambahnya.


George yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Karamunting menyatakan perkara itu selepas mengadakan mesyuarat bersama Sabah Electricity, di sini, pada Rabu.


Mesyuarat selama 1 jam 30 minit itu turut dihadiri Pengurus Sabah Electricity Sandakan (Timur), Ir Siti Jamilah Alias, serta ketua jabatan dan kontraktor. Langkah-langkah penyelesaian segera telah dikenal pasti untuk menangani masalah ini.


Hasil perbincangan tersebut, Siti Jamilah memaklumkan bahawa kabel penghantaran akan dilaras, penyelenggaraan akan diperketatkan, dan kabel lama diganti secara berperingkat. 


Selain daripada itu, Sabah Electricity juga akan mengkaji dengan lebih dalam keperluan untuk menukar dan menaiktaraf kabel-kabel lain yang telah usang, bagi memastikan penduduk di kawasan Jalan Cecily boleh mendapat bekalan elektrik yang lebih stabil dan mencukupi. 


George berkata Sabah Electricity juga sedang dalam proses menggantikan kabel-kabel lama dan membahagikan bekalan elektrik di kawasan itu kepada tiga zon untuk mengurangkan beban sistem.


“Selepas kerja baik pulih itu, sesetengah penduduk menerima bekalan sehingga 180 kWh,” tambahnya.


Bagaimanapun, George berkata ketika ini, masalah gangguan bekalan elektrik di Jalan Cecily masih lagi belum dapat diselesaikan sepenuhnya kerana kerja-kerja naiktaraf kabel elektrik masih belum selesai. 


George menggesa Sabah Electricity untuk mempercepatkan kerja menaik taraf kabel elektrik lama itu dan infrastruktur bagi memastikan penduduk mendapat bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi.


Sementara itu George turut menggesa pihak Sabah Electricity untuk memasang dan menyelenggara lampu-lampu jalan di kawasan Jalan Cecily yang masih gelap, termasuk juga lampu-lampu jalan yang ditutup oleh pokok-pokok besar. 


Katanya, walaupun pihak ADUN Karamunting telah memasang 200 lampu solar di sepanjang jalan tersebut, namun semua pihak tidak boleh bergantung dengan lampu solar kerana ia akan menjadi malap semasa hujan lebat. 


Jelasnya, perkara ini amat penting kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya apa lagi sekarang semasa musim hujan. 


Untuk hal ini, George telah dimaklumkan semasa perjumpaan itu bahawa kontraktor Sabah Electricity akan menyelesaikan masalah ini, manakala kerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan akan diteruskan untuk penyelenggaraan lampu jalan yang di bawah seliaan mereka.

Comments


bottom of page