top of page
  • nabalunews

Usaha NGO menjaga alam sekitar dihargai

21 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Usaha badan bukan kerajaan (NGO) yang memulihara alam sekitar di negeri ini amat dihargai.


Ini termasuk usaha Future Alam Borneo, sebuah NGO di daerah ini yang sudah 10 tahun aktif dalam mempromosi kepentingan menjaga alam sekitar.


Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) Datuk Phoong Jin Zhe berkata usaha ini juga sekaligus menyokong kepada komitmen kerajaan dalam melestarikan alam sekitar.


Katanya, kementeriannya juga sentiasa mengalu-alukan usaha sedemikian walaupun pada dasarnya bidang ini tidak berada di bawah MIDE.


Dari segi pelaburan, katanya, MIDE sentiasa menggalakkan hal ini tetapi dalam masa sama masih mengekalkan kelestarian alam sekitar.


Dalam perkembangan lain, Phoong berkata antara komitmen kerajaan Sabah menjaga alam sekitar di negeri ini apabila menolak cadangan pembinaan loji arang batu untuk penjananaan kuasa di negeri ini beberapa tahun lalu yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada orang ramai.


Beliau menyatakan perkara itu ketika merasmikan Festival Borneo Rhythms of Rimba (ROR) 2024 Kali Ke-5 anjuran FAB di Discovery Rainforest Centre (RDC), Batu 14, Sepilok, petang tadi.


Festival yang juga meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan FAB dalam usaha melestari alam sekitar itu dirasmikan Phoong bersama Duta Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Edgard D.Kagan.


Ia dianjurkan bersama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Sandakan, Jabatan Perhutanan Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah selain kerjasama strategik bersama Yayasan Hasanah, Pesuruhjaya Tinggi Kanada dan yang lain.


Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Robert Bissett, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Timbalan Konservator Hutan Sabah (Penyelidikan Dan Pembangunan), Dr.Arthur Chung serta Pengerusi FAB yang juga Pengerusi Penganjur festival berkenaan, Anton Ngui serta wakil dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Majlis Perbandaran Sandakan.


Sementara itu, Edgard berkata, pihaknya sangat berbesar hati menyokong penganjuran festival itu dan gembira berada di Sandakan dan juga Sabah yang mementingkan usaha konservasi alam.


Manakala Anton merakamkan penghargaan kepada semua terlibat menjayakan usaha berkenaan.


Katanya Festival ini diadakan dalam membawa mesej penjagaan alam sekitar yang dinamik serta biodiversiti.

Comments


bottom of page