top of page

USAHANITA Sabah mainkan peranan penting tingkat ekonomi usahawan wanita

  • nabalunews
  • Apr 19
  • 2 min read

Rina melawat gerai jualan dan pameran produk USAHANITA Sabah sempena program tersebut.
Rina melawat gerai jualan dan pameran produk USAHANITA Sabah sempena program tersebut.

19 April 2025

TAWAU: Persatuan Wanita Bumiputera Malaysia (USAHANITA) Cawangan Sabah berjaya memainkan peranan pentingnya dalam membantu meningkatkan ekonomi para usahawan wanita sejak kewujudannya di negeri ini, lima tahun lalu.


Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, kejayaan itu terbukti apabila 100 ahli USAHANITA Sabah menerima Executive Master in Beyond Economic University of Life WEBBB (Wealth, Brain, Beauty, Behaviour) di Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu.


Katanya, jumlah berkenaan menjadikan Sabah sebagai kumpulan penerima anugerah terbanyak di Malaysia pada majlis tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.


“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada para usahawan Sabah yang berkecimpung di dalam perniagaan kecil dan sederhana… In Shaa Allah, kejayaan demi kejayaan akan terus dicapai oleh USAHANITA Sabah dalam masa terdekat,”katanya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Kukusan itu, bercakap kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4 USAHANITA Cawangan Sabah di sini, hari ini, yang turut dihadiri Presiden USAHANITA Malaysia, Syahirah Hani.


Mengulas lanjut, Rina berkata, persatuan itu merupakan platform yang sangat baik bukan sahaja dalam memberi sokongan moral, malah turut membuka peluang kepada golongan wanita untuk melibatkan diri dalam perniagaan secara lebih serius.


Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak mengabaikan usaha memperkasakan wanita yang terbabit dalam perniagaan kecil dan sederhana di Sabah menerusi pelbagai peluang dan program.


Antaranya,program pembangunan usahawan belia (SYABAS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 belia dalam pelbagai perusahaan di seluruh negeri.


Dalam Belanjawan Sabah 2025 juga, katanya, kerajaan memperkenalkan satu lagi program khusus untuk memperkasa wanita muda dalam bidang keusahawanan iaitu Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG).


Menurutnya, program itu menawarkan pinjaman menarik, bimbingan, sesi mentoring bersama pakar industri, serta latihan pemasaran efektif yang dijangka akan memberi manfaat kepada sekitar 200 wanita muda.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page