top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan industri sukan boleh mohon pembiayaan khas daripada Bank Rakyat - Ewon

9 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Usahawan-usahawan dalam industri sukan boleh memohon pembiayaan khas di bawah Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS) yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick skim tersebut bertujuan membantu usahawan industri sukan dari segi modal kerja dalam menjayakan dan mengembangkan perniagaan.


“Skim pembiayaan industri sukan merupakan inisiatif Belanjawan MADANI 2024 dan Bank Rakyat iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah dilantik sebagai agensi pelaksana.


“Justeru, saya berharap dengan adanya SPIS ini, akan membuka ruang dan peluang yang lebih baik kepada usahawan-usahawan yang ingin berkecimpung dalam keusahawanan industri sukan ataupun mengembangkan perniagaan yang sedia ada dalam sektor ini,” katanya.

Ewon menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Kyro Fitness, sebuah pusat gimnasium terbaharu di Penampang, hari ini.


Ewon yang juga merupakan Ahli Parlimen Penampang menyatakan ucapan tahniah di atas pembukaan pusat gimnasium tersebut yang boleh memberikan perkhidmatan ke arah gaya hidup sihat di kalangan penduduk sekitar daerah Penampang.


“Saya menyokong penuh pembukaan Kyro Fitness bukan hanya dalam konteks pembangunan keusahawanan dan menyediakan peluang pekerjaan, tetapi sama pentingnya adalah pembudayaan gaya hidup sihat melalui pusat ini,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Pengurusan Kyro Fitness, Jason Tham menyatakan pusat gimnasium tersebut telah mulai beroperasi sejak empat bulan lepas dan kini mempunyai keahlian lebih 400 orang.

Turut sama hadir dalam perasmian tersebut ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Penampang Chong Fit Pah.

Comments


bottom of page