top of page
  • nabalunews

USHWANE dan Tutungkap Borneo jalin kerjasama bantu usahawan tempatan

5 September 2024


KOTA KINABALU: Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) menjalin kerjasama dengan Mini Runcit IKS "Tutungkap Borneo," yang dimiliki oleh Dr. Albert Oliver Vincent, atau lebih dikenali sebagai Obertz untuk membantu para usahawan tempatan, khususnya usahawan luar bandar di Sabah yang kebanyakan mereka adalah ahli USHWANE.


Pengerusi USHWANE, Rowindy Lawrence, menyatakan penghargaan terhadap usaha Dr. Albert dalam memperkasakan usahawan luar bandar di Sabah, khususnya golongan wanita dan ibu tunggal.

Rowindy dan Obertz

Menurut beliau, usaha Dr. Albert amat penting dalam membantu usahawan-usahawan mempromosikan produk mereka, yang kebanyakannya adalah buatan tangan atau produk "homemade" seperti kraftangan dan pakaian tradisional.


"Saya mahu melihat lebih ramai usahawan mempunyai pandangan, pemikiran dan minda seperti Dr Obertz iaitu membantu mempromosikan lebih banyak produk tempatan di premis mereka bagi mengatasi masalah usahawan-usahawan di luar bandar akibat kekangan tempat menjual produk kerana tidak mampu membayar sewa kedai memandangkan mereka hanya usahawan dari rumah sahaja dan jauh dari pekan," kata Rowindy.

Obertz sedang memberi keterangan

“Saya amat berterima kasih kepada Obertz kerana memberi peluang untuk bekerjasama bersama USHWANE yang mana kebanyakkan ahli USHWANE ini sememangnya terdiri daripada usahawan wanita luar bandar Sabah," tambah Rowindy lagi.


Menurut Dr. Albert, beliau selaku pengerusi pertandingan ratu cantik Zandi Tavanus juga berhasrat untuk mempromosikan produk-produk ini kepada pelancong yang datang melawat premisnya, serta semasa acara-acara tertentu seperti Pertandingan Zandi Tavanus serta Miss dan Mr Native Borneo yang akan datang.

Rowindy

Di samping itu, Dr. Albert turut memperkenalkan minuman dan makanan tradisional tempatan seperti lihing, tuhau, tumpung, sambal udang dan kerepek sebagai sebahagian daripada produk yang dijual di Tutungkap Borneo.


Dengan memperluaskan promosi produk-produk tempatan ini, Dr. Albert berharap dapat memberikan peluang kepada lebih ramai usahawan luar bandar untuk menjual produk mereka tanpa perlu menanggung kos sewa kedai yang tinggi, yang sering menjadi halangan bagi usahawan kecil di kawasan pedalaman.

Orang ramai dijemput hadir ke pembukaan rasmi “Tutungkap Borneo” pada Ahad ini, 8 September bertempat di tingkat satu Blok J, Kompleks Segama, sebagai tanda sokongan kepada usaha memperkasa usahawan tempatan.


Comments


bottom of page