top of page
Wartawan Nabalu News

USHWANE salurkan bantuan kepada ahli terjejas banjir di Penampang

8 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) tampil menghulurkan bantuan kepada 25 ahli mereka yang terjejas akibat musibah banjir di Penampang.


Bantuan yang disampaikan berupa bakul makanan, air minuman dan wang tunai, merupakan inisiatif Biro Kebajikan Persatuan USHWANE dalam usaha meringankan beban ahli-ahli yang ditimpa bencana.


Pengerusi USHWANE, Puan Rowindy Lawrence, berkata usaha ini akan diteruskan secara berfasa bagi membantu lebih ramai usahawan wanita yang terjejas.


"Kita tahu masih ramai usahawan wanita di luar sana yang masih terjejas. Kita mulakan fasa demi fasa bantuan ini," kata beliau.


Puan Rowindy turut menyarankan ahli-ahli USHWANE yang memiliki pembiayaan di agensi-agensi kerajaan seperti Tekun Nasional dan AIM untuk menghubungi pejabat-pejabat agensi terbabit bagi berbincang mengenai penangguhan pembayaran atau penjadualan semula bayaran, seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Bemedick.


Persatuan USHWANE merupakan persatuan yang membantu usahawan-usahawan wanita di seluruh Sabah dan kini memiliki beberapa cawangan di seluruh negeri.


Misi bantuan ini turut disertai oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pusat USHWANE iaitu Florence Godfrey, Chelsiea Japanis, Fiona Chang dan Ferneystelin Matinin.


Inisiatif USHWANE ini membuktikan komitmen persatuan dalam membantu ahli-ahli yang ditimpa bencana dan memperkukuh semangat keusahawanan wanita di Sabah.

Comments


bottom of page