Vod Zanix ketua baharu GEM UPKO Kota Belud
5 Mei 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Vod Zanix Sidin dipilih sebagai ketua baharu Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud bagi sesi 2022/2024.
Beliau yang sebelum ini Naib Ketua 1 GEM UPKO Kota Belud menang tanpa tanding menggantikan Joel Deukin yang kini beralih menganggotai Pemuda UPKO Kota Belud.
Dalam mesyuarat agung itu Elia Jainis dipilih sebagai timbalan ketua GEM UPKO Kota Belud yang baharu, manakala Naib Ketua masing-masing dimenangi oleh Ezra Sarudin, Sylvinee Yusop dan Wo Wei Ken.
Vod Zanix yang juga Ketua GEM Cawangan Gensurai dan Ketua GEM PDM Narinang akan memastikan visi pergerakan itu mewujudkan generasi muda yang berwawasan dan berdaya saing dapat dicapai.
“Amat penting untuk mewujudkan budaya kerja yang produktif dalam kalangan warga Komulakan atau Generasi Muda bagi memastikan visi dan misi Komulakan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Ia bukan sahaja dapat menyumbang kepada pengukuhan parti tetapi membantu meningkatkan kecekapan sejajar aspirasi dan perjuangan parti,” katanya ketika ditemui Nabalu News selepas Mesyuarat Agung Tritahunan GEM UPKO Kota Belud di Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian, di sini, hari ini.
Vod Zanix berkata, bagi menjayakan matlamat itu, perkara asas yang perlu ada bagi semua individu adalah menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas, amanah, berintegriti, bersungguh-sungguh dan konsisten.
Beliau juga bertekad untuk terus menarik lebih ramai generasi muda menyertai UPKO sebagai landasan perjuangan dan berkhidmat untuk masyarakat.
“Mungkin mereka (generasi muda) kurang berminat dalam politik atau menyertai mana-mana parti politik kerana tidak memahami perjuangan sebenar parti kita.
“Oleh itu pendidikan politik perlu diterapkan kepada golongan muda agar mereka sedar dan faham tanggungjawab dan peranan mereka juga penting dalam pembentukan landskap politik negara,” katanya.
コメント