top of page

Walaupun tidak disebut dalam ucapan dasar, Ewon yakin komitmen Kerajaan Sabah terhadap MA63 kekal teguh

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read


14 April 2025


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkeyakinan, Kerajaan Sabah kekal komited memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), walaupun perkara itu tidak disentuh dalam ucapan dasar kerajaan negeri baru-baru ini.


“Saya sebenarnya ingin membahaskan tentang usaha-usaha berterusan dan status pelaksanaan rundingan tuntutan MA63 kerana terlalu banyak kenyataan di luar, tetapi tidak disebut di dalam ucapan dasar Kerajaan Negeri.


“Apapun, saya tidak meragukan komitmen Kerajaan Sabah pimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri mengenai perkara ini kerana dari segi pencapaiannya, kita telah melunaskan atau melaksanakan lebih banyak tuntutan MA63 semasa pimpinan Kerajaan MADANI ini berbanding Kerajaan-kerajaan sebelumnya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.


Ewon berkata, beliau sendiri akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong rundingan antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan (G-to-G) bagi memastikan tuntutan hak Sabah dalam MA63 dapat terus direalisasikan.


“Saya akan terus memainkan peranan tersendiri dalam melengkapkan komitmen dan usaha rundingan Government-to-Government di dalam perkara ini,” katanya.


Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan sebagai aset terbesar negeri ini, demi membina masa depan yang lebih sejahtera dan bersatu padu.


“Mari kita memperkasakan aset terbesar Sabah iaitu perpaduan dan keharmonian kaum dan agama serta kebersamaan rakyat. Mari memilih untuk melakukan lebih banyak kebaikan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page