Wanita ditemui gantung diri
nabalunews
23 Januari 2025
SANDAKAN: Seorang wanita meninggal dunia selepas ditemui menggantung diri di sebuah rumah kedai di pusat bandar, di sini, hari ini.
Kejadian disedari suami mangsa kira-kira jam 9 pagi sebaik menemui isterinya dalam keadaan tidak bernyawa.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa adalah seorang wanita tempatan yang berusia 32 tahun.
Katanya, mangsa ditemui menggantung diri menggunakan kain sarung di satu bahagian pintu rumah mereka.
“Bagaimanapun setakat ini, punca sebenar mangsa bertindak sedemikian masih dalam siasatan pihak polis.
“Siasatan polis juga tidak menemui sebarang unsur jenayah ataupun perbuatan khianat ,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Abdul Fuad berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 9 pagi, Jumaat ini.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Comments