Wanita GRS bantu mangsa kebakaran Kampung Tanjung Aru Baru
16 Disember 2024
KOTA KINABALU : 15 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru di sini menerima sumbangan daripada Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
untuk meringankan beban mereka yang tinggal sehelai sepinggang dalam tragedi itu.
Majlis penyampaian bantuan berupa sumbangan wang tunai dan bakul makanan itu berlangsung di Balai Raya Kampung Tanjong Aru Baru pada Ahad susulan kebakaran baru-baru ini yang memusnahkan tujuh buah rumah dan menjejaskan 15 keluarga.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.
Azizah berkata biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka dan diharap dapat memberi semangat baharu kepada mangsa.
Beliau menyeru masyarakat dan organisasi lain untuk terus memberikan sokongan kepada mangsa kebakaran itu agar mereka dapat kembali membina kehidupan mereka dengan lebih baik.
“Mari kita bersama-sama mengambil berat dan prihatin pada keluarga kita, jiran kita, saudara kita tidak kira jauh dekat, kenalan kita dalam komuniti dan semuanya.
“Amalan bantu-membantu bagi meringankan beban mereka yang dilanda kepayahan dan musibah, adalah amat besar ganjaran pahala dari Tuhan dan kita sekaligus dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia,” ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Balai Raya Kampung Tanjong Aru Baru.
Turut hadir, Datuk Awang Ahmad Shah Datuk Awang Shaari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.23 Petagas yang juga Ketua Bahagian PGRS N. 23 Tanjung Aru, Noraiza DSP Mohd Noor Mansor, Ketua Wanita Parti Maju Sabah,
SAPP, Salmah Sait, Setiausaha Wanita GRS Sabah dan Datin Mary Wong, Bendahari Wanita GRS Sabah.
Commentaires