top of page
  • nabalunews

Wanita jatuh laut selepas diserang sawan

22 Ogos 2024


SANDAKAN: Seorang wanita terjatuh ke dalam laut melalui lubang lantai rumahnya di perkampungan atas air di Jalan Buli Sim-Sim Jambatan 23, di sini, selepas diserang sawan, pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, wanita berusia 34 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui @ Mohd Nidzam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.24 pagi.


Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota dari BBP Sandakan dikejarkan

ke lokasi kejadian yang terletak 3 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi menyelamat.


“Sebaik tiba mendapati terdapat seorang wanita dipercayai mengalami sakit sawan jatuh ke dalam air melalui lubang lantai rumahnya.


“Bagaimanapun, mangsa berjaya diangkat oleh keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Menurutnya, pasukan bomba membantu membawa naik mangsa ke daratan bersama dengan penduduk kampung.


“Mangsa yang separa sedar itu diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Sandakan menaiki ambulans.


“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan jam 10.55 pagi,” katanya.

Comments


bottom of page