Wanita maut kemalangan dua kenderaan
11 Disember 2024
KOTA KINABALU: Seorang wanita maut manakala 2 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Lintas, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata polis menerima laporan mengenai kemalangan jalanraya itu jam 5.45 pagi.
"Kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan berhampiran Maimunah Cybercity, Jalan Lintas, Kota Kinabalu.
"Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan jenis Toyota Camry dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi. Kemalangan melibatkan kes terbabas dan masuk ke arah laluan bertentangan dan berlaku perlanggaran," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kasim berkata siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 20-an datang dari arah Kobusak menuju ke Putatan.
"Apabila sampai berhampiran Speed Car Wash, Cybercity Jalan Lintas, pemandu
Perodua Myvi cuba untuk membuat pusingan-U dengan secara tiba-tiba yang menyebabkan kenderaan Perodua Myvi itu hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di hadapannya dan terbabas ke laluan bertentangan.
Perodua Myvi itu kemudiannya merempuh sebuah kenderaan Toyota Camry yang dipandu oleh seorang wanita berusia 40an dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menghala ke arah Lido.
Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Camry mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pemandu dan penumpang kenderaan Perodua Myvi cedera ringan.
Seorang kanak-kanak berusia 9 tahun yang menaiki Toyota Camry, terselamat.
"Hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pemandu kenderaan Perodua Myvi tersebut yang cuai di dalam pemanduannya sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke arah laluan bertentangan dan merempuh pemandu kenderaan Toyota Camry tersebut," katanya.
Kasim berkata siasatan lanjut kemalangan ini masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menasihatkan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuh kepada peraturan lalulintas.
댓글