Wanita mengaku salah sebabkan kematian bekas suami
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

14 April 2025
TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang wanita yang didakwa menyebabkan kematian bekas suaminya, dua tahun lalu.
Nurima Juli, 35, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Datuk Dr. Lim Hock Leng selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh pendakwaan semula pada 26 April 2024.
Manakala, adik tirinya, Sadam Kiram, 30, yang dituduh bersama, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan bunuh itu.
Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggugurkan pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi adik-beradik tiri itu.
Berdasarkan pertuduhan alternatif itu, Nurima didakwa menyebabkan kematian kepada Nurman Bakaratu yang juga pemandu e-hailing yang ditemui mati dibunuh pada 13 Januari 2023.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 7.30 hingga 11.30 malam bertempat di Ladang Kelapa Sawit, berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di sini.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Mohammad Fakrurrazi Ahmad Salim, manakala, Nurima diwakili peguam Mark Rosaidey Mohd Amin, dan Sadam pula diwakili Jhassary P. Kang.
Sebagai rekod, kes ini mendapat perhatian meluas kerana turut membabitkan pertuduhan bunuh terhadap lapan individu iaitu tujuh pegawai dan anggota ESSCOM, termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain yang didakwa bersubahat, dan seorang orang awam.
Semua mereka, bagaimanapun dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan pada 25 Januari 2024 oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Comments