top of page
nabalunews

Wanita Palestin mohon maaf, menyesal

6 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Wanita warga Palestin yang tular membuat kecoh dan merosakkan harta awam di Wisma Transit Kuala Lumpur, di sini tampil memberi penjelasan serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia.


Aminah Muhammad Nafi' Jamal Abd Rabbah berkata, dia menyesal dengan apa dilakukan walaupun menerima layanan yang baik daripada pihak berkaitan di negara ini.


Menurutnya, dia mengalami tekanan perasaan selepas terputus hubungan dengan anaknya yang masih berada di Gaza kerana tidak dapat dihubungi sejak seminggu lalu.


"Kami sedang melalui situasi dan keadaan sangat sulit yang hanya Allah tahu. Saya seorang ibu kepada tiga anak yang syahid.


"Selain itu, sudah seminggu saya tak boleh hubungi anak-anak saya (yang masih berada di Gaza). Tiada komunikasi dan saya tidak dapat tahu apa-apa tentang mereka di sana," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok seperti dilaporkan Harian Metro.


Wanita itu adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang cedera dan tiba di Malaysia pada 16 Ogos lalu untuk menerima rawatan perubatan di sini berikutan serangan Israel ke atas Gaza tahun lalu.


Dalam rakaman terbabit, Aminah memohon maaf kerana bertindak demikian meskipun pihak yang menjaganya dan rakyat senegara yang ditempatkan di bangunan berkenaan sudah melaksanakan tugas dengan baik.


"Anda melayan kami dengan segala kebaikan, rasa hormat dan penghargaan. Anda sudah melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab, tetapi kamilah yang melakukan kesalahan terhadap anda (rakyat Malaysia). Saya minta maaf.


"Saya harap anda akan menerima permohonan maaf saya dan dapat merasakan apa yang kami rasai. Saya bersumpah dengan tuhan yang semuanya adalah lebih dari apa yang kami boleh tahan," katanya.


Sebelum ini media melaporkan, dua wanita warga Palestin tular membuat kekecohan dan merosakkan harta benda awam di Wisma Transit Kuala Lumpur.


Klip video tular itu, menunjukkan wanita terbabit hilang kawalan dan memecahkan pasu serta menendang meja.

Comments


bottom of page