top of page
  • nabalunews

Wanita sarat mengandung dipenjara 3 tahun kemuka maklumat palsu daftar kad pengenalan


18 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


TAWAU: Seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas dia mengaku salah mengemukakan maklumat palsu untuk mendaftarkan kad pengenalan menggunakan sijil lahir anak kandungnya untuk individu lain, sembilan tahun lalu.


Mertina Tibi, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suhailla Selag selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Mertina berdepan dua pertuduhan yang masing-masing dijatuhkan hukuman pemenjaraan 18 bulan dan diarah berjalan secara berasingan, bermula tarikh dia ditangkap pada 17 September 2024.


Bagi pertuduhan pertama, Mertina didakwa memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan kali pertama dengan mengemukakan sijil lahir nombor daftar SB276873 atas nama Mohammad Shah Harun pada 17 Oktober 2017 jam 2.25 petang di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan UTC Tawau.


Manakala, dalam pertuduhan kedua, wanita itu didakwa melakukan kesalahan sama dengan mengemukakan sijil lahir nombor daftar SB156933 atas nama Sahildarwan pada 17 November 2015 jam 4.28 petang di Kaunter JPN Kunak.


Tertuduh didakwa di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan-peraturan yang sama.


Peraturan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20, 000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Menurut fakta kes, pada 10 Januari 2023, Bahagian Kad Pengenalan JPN Putrajaya menerima aduan berkenaan daftar kelahiran atas dua penama tersebut yang sudah dikeluarkan kad pengenalan kepada orang lain (penyamar).


Semakan ke atas Borang Permohonan kad pengenalan bernombor 050905-12-0177 atas nama Mohammad Shah Harun Salar Zay dan Kad Pengenalan bernombor 030919-12-0241 atas nama Sahitdarwan Salar Zay, mendapati tertuduh memberikan maklumat palsu sebagai penganjur (penjamin) bagi mendaftarkan kad pengenalan atas nama itu untuk seseorang yang bukan anak kandungnya.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Mohd Nadzeri, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Comments


bottom of page