top of page

Wanita tempatan jamin warga asing mohon kad pengenalan dipenjara

nabalunews

3 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seorang wanita warga tempatan dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu berkaitan permohonan kad pengenalan dua warga asing yang bukan anak kandungnya.


Kartinadari Amai, 56, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu sebagai pemohon (penjamin) iaitu ibu semasa mendaftarkan kad pengenalan bernombor 990302-12-5059 atas nama Mohd Hafik Julal di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau, 13 tahun lalu pada 11 Mac 2011, jam 10.09 pagi.


Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama semasa mendaftarkan kad pengenalan bernombor 990514-12-6256 atas nama Hasnani Julal di JPN Tawau, 12 tahun lalu pada 16 November 2012, jam 3.42 petang.


Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan pertama, bermula dari tarikh tangkap pada 30 Ogos 2024, manakala, hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan kedua, berjalan secara berasingan.


Ibu kepada 12 anak itu, didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah Peraturan-Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20, 000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, pada 16 Januari 2024, JPN Tawau menerima satu aduan berkenaan semakan Sistem JPN mendapati terdapat tiga orang anak tertuduh dilahirkan pada tahun yang sama iaitu Mohd Hafik (2 Mac 1999), Hasnani (14 Mei 1999) dan Merna (8 Jun 1999).


Semakan lanjut mendapati, Mohd Hafik dan Hasnani sudah dikeluarkan kad pengenalan, manakala, seorang lagi (Merna) belum dikeluarkan kad pengenalan.


Keterangan saksi-saksi iaitu anak-anak kandung tertuduh mengesahkan ketiga-tiga penama bukan adik-beradik kandung mereka dan mereka juga tidak mengenali ibu bapa kandung sebenar tiga penama tersebut.


Pendakwaan kendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Nadzeri, manakala, tertuduh diwakili Jhasarry P. Kang (Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan).

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page