Wanita UPKO Kiau Taburi anjur Kursus Asas Menjahit Pakaian
2 Mei 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Seramai 21 peserta wanita dari Kampung Kiau Taburi menyertai Kursus Asas Menjahit Pakaian Wanita selama satu minggu, di dewan kampung itu, baru-baru ini.
Kursus itu dianjurkan oleh Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kg.Kiau Taburi.
Ketua Cawangan UPKO Kg.Kiau Taburi Dolois Sumbin berkata, kursus itu bertujuan untuk memberikan kemahiran asas dan meningkatkan pengetahuan kepada golongan wanita agar dapat menjana pendapatan sampingan.
“Saya berharap kursus ini dapat meningkatkan kemahiran mereka agar suatu hari nanti mereka mampu menjana pendapatan ekonomi keluarga,” katanya kepada Nabalu News.
Dolois turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick atas sokongan dan sumbangan menjayakan kursus ini.
Sementara itu Ketua Wanita UPKO Kiau Taburi Kasiah Taliban berkata, selepas ini mereka merancang untuk menganjurkan kursus lanjutan untuk meningkatkan lagi kemahiran para peserta.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkenaan untuk memberikan kemahiran kepada wanita luar bandar, bukan sahaja dalam bidang jahitan tetapi kemahiran-kemahiran lain yang bersesuaian dengan wanita,” katanya.
Comments