WARGA BELURAN, TELUPID DIMINTA DAFTAR UNTUK VAKSIN COVID-19
18 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang meminta semua penduduk khususnya di kawasan Beluran dan Telupid supaya mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Beliau yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran berkata, ini penting untuk mengawal dan memutuskan penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak.
Katanya, setakat ini daerah Telupid adalah antara daerah yang masih rendah dari segi peratusan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19.
“Saya telah menerima pelawaan untuk mengadakan pertemuan dengan Pegawai Klinik Kesihatan Telupid Dr.Azri Ramli baru-baru ini untuk membincangkan beberapa perkara penting dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 di daerah ini.
“Antara komitmen kita ialah membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan kesedaran kepada masyarakat Telupid agar mereka mendaftar segera untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Kita perlu tingkatkan kerjasama dan berganding bahu untuk membendung dan mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya kepada Nabalu News.
Felix turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Dr.Azri dan pihak Klinik Kesihatan Telupid yang melakukan ‘engagement’ dan kerjasama dengan semua pihak bagi membendung penularan Covid-19.
Beliau juga menyeru agar warga Telupid terus mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Comments