top of page
Farah Salim

Warga emas dan penerima vaksin Sinovac perlu ambil dos penggalak sebelum 1 Mac


7 Februari 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Warga emas berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas harus mengambil dos penggalak sebelum 1 Mac.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jika mereka tidak berbuat demikian, mereka akan kehilangan status lengkap vaksinasi.


"Jika mereka tidak mendapatkan dos penggalak pada Februari ini, sijil vaksinasi kuning mereka akan bertukar menjadi putih mulai 1 Mac,” katanya dalam satu siding media hari ini.


Oleh itu beliau meminta agar golongan itu untuk segera mendapatkan dos penggalak secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.


Katanya, bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk, dos penggalak adalah perlu kerana ianya memberi perlindungan penuh daripada jangkitan Covid-19.


“Data harian menunjukkan individu yang belum divaksin adalah sembilan kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan maut berbanding individu yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak,” katanya.


Beliau berkata, buat masa ini, hanya 32 peratus atau satu juta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak.


Sementara itu, negara terus mencatatkan jumlah kes harian Covid-19 yang tinggi dengan 11,034 kes dicatatkan berbanding 10,089 kes semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 2,925,254.

Comments


bottom of page