top of page
nabalunews

Warga emas hilang tiga hari lalu ditemui selamat


23 Disember 2024


KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun yang dilaporkan hilang sejak 20 Disember lalu telah berjaya ditemukan dalam keadaan selamat hari ini di Kampung Keguraan, Kota Belud.


Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa dilaporkan keluar dari rumah tanpa memaklumkan ahli keluarga pada jam 8 pagi.


“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejurus laporan diterima pada 21 Disember, dengan pencarian awal melibatkan kawasan sejauh 2 kilometer dari kediaman mangsa.


“Bagaimanapun, pencarian pada hari pertama tidak menemui sebarang petunjuk.


“Operasi SAR disambung semula pada 23 Disember atas permintaan keluarga. Pada jam 2.30 petang, mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam bersama pasukan bomba sejauh 400 meter dari rumahnya,” menurut JBPM dalam satu kenyataan hari ini.


Komander Operasi, PBK II Patrick Marius Liansun, memaklumkan bahawa mangsa telah dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.


Operasi ini melibatkan BBP Kota Belud, Unit K9, dan bantuan daripada komuniti setempat.

Comments


bottom of page