top of page
nabalunews

Warga emas rentung, kebakaran di Ranau




15 November 2024


RANAU: Seorang wanita warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Muhibbah, di sini, awal pagi tadi.


Mangsa Wong Ling Ying, 74, ditemukan rentung di ruang tamu selepas dipercayai terjatuh dari biliknya di tingkat atas.


Difahamkan mangsa, anak dan dua cucunya sedang tidur dan sebaik menyedari kebakaran, mereka sekeluarga terjaga.


Mangsa dipercayai terperangkap manakala anak dan cucunya sempat keluar menyelamatkan diri dengan melompat daripada tingkap rumah di bahagian atas, lapor Info X.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.20 pagi.


Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai bomba.


“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua rumah. Rumah pertama terbakar 99 peratus manakala rumah kedua terbakar 50 peratus.


“Turut terbakar dua kenderaan Toyota Hilux Single Cab dan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dari sumber air pili bomba berhampiran.


“Selepas api berjaya dikawal jam 2.28 pagi, terdapat seorang mangsa warga emas rentung dalam kebakaran itu ditemui di rumah pertama.


“Pasukan bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


Ridwan berkata, anak mangsa berusia 48 tahun dan dua cucunya perempuan berusia sembilan dan lelaki berusia 11 tahun turut melecur dalam kejadian itu.


“Semua mereka yang cedera melecur kemudian dikejarkan ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.


“Operasi ditamatkan pada jam 4.14 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

Comments


bottom of page