WARGA EMAS TERIMA RUMAH ‘TERATAK PRIHATIN’
30 Jan 2021
Oleh Syabil Syafi
BEAUFORT : Nasib seorang warga emas yang menghuni sebuah rumah usang selain tiada bekalan air dan elektrik sejak lebih 20 tahun lalu mendapat perhatian pelbagai pihak selain bakal berpindah ke rumah baru yang dinamakan sebagai Teratak Prihatin.
Warga emas, Komoi Awang,80an, yang tinggal bersama seorang anak lelakinya di Kampung Luagan Sanginan itu menerima kunci rumah yang disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam kelmarin.
Rumah yang dibina atas inisiatif dan keprihatinan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah itu turut mendapat kerjasama dari Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Pengarah YADIM Sabah Samin Ongki berkata, rumah yang dibina pada awal Disember tahun lalu itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak dan kos pembinaan rumah berkenaan sebanyak RM20,000 termasuk pendawaian elektrik serta pemasangan bekalan air bersih.
“Pada pertengahan November tahun lalu, saya bersama ADUN Lumadan mengadakan lawatan kesini melihat sendiri keperitan yang dihadapi dan kami dapati rumah warga emas ini juga agak usang dan tidak selamat untuk dihuni.
“Justeru itu, kami terpanggil untuk membantu warga emas ini dengan membina rumah yang dinamakan sebagai Teratak Prihatin. Pada masa itu juga kami lancarkan kutipan derma yang diselaraskan YADIM bersama UPPM DUN Lumadan,”katanya.
Katanya, rumah yang dibina selama hampir dua bulan itu dilengkapi dua bilik tidur, ruang tamu, dapur, bilik mandi dan tandas.
Sementara itu, ADUN Lumadan Ruslan Muharam berkata, pihaknya berharap agar lebih banyak pihak tampil mencontohi usaha YADIM dalam mendepani permasalahan rakyat setempat.
Comments