top of page
nabalunews

Warga emas terperangkap dan terkandas banjir di rumahnya di Batu 12 Sandakan di bantu APM



Anggota APM Sandakan membantu warga emas yang terperangkap dan terjejas banjir di rumahnya di Batu 12, Sandakan hari ini. (Gambar APM Sandakan).


16 Januari 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN - Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan bersama pasukan penyelamat yang lain membantu warga emas yang terkandas banjir dan terperangkap di dalam rumahnya di Batu 12, Sandakan hari ini (Khamis) disebabkan hujan turun berterusan di daerah ini sejak malam semalam (Rabu).


Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sandakan, Kapt.Pertahanan Awam Sulaiman Salama, berkata, selepas menerima penggilan, anggotanya kemudian membawa warga emas tersebut keluar dari rumahnya lalu dihantar ke tempat yang lebih selamat. 


Jelasnya, beberapa kawasan juga telah dinaiki air di sekitar Sandakan termasuk Bandar Fajar Perdana, dekat bulatan Mahkamah, Batu 10 dan 12 dan sekitar, Jalan Nasalim ke Bulatan Helang, Batu 5 selain berlaku beberapa kejadian pokok tumbang dimana pihak APM juga membantu menarik kenderaan orang awam yang terkandas dan dinaiki banjir kilat.


"Kita akan terus memantau keadaan semasa dengan menempatkan anggota kita di lokasi yang berisiko dinaiki air," jelasnya melalui satu kenyataan di Sandakan pada Khamis.


Dalam pada itu, APM Tongod dan kawasan lain melaporkan tiada banjir kilat setakat ini berlaku di kawasan itu dan ia juga sentiasa akan dipantau dari masa ke masa.


Jabatan Meteorologi melaporkan hujan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah dan ia juga mungkin menyebabkan banjir atau kawasan rendah dinaiki air.


Sulaiman menasihatkan semua pihak sentiasa menjaga keselamatan diri semasa cuaca tidak mengizinkan dan bersedia berpindah jika diarahkan berbuat demikian. 


Sementara itu, pasukan Bomba dan Penyelamat Sandakan turut membantu 4 orang mangsa terperangkap dalam rumah disebabkan banjir di lokasi yang sama di Batu 12, Sandakan melibatkan wanita dewasa itu dan tiga kanak-kanak.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui, berkata, pasukan Bomba bersama agensi lain bertindak memindahkan mangsa ke kawasan yang selamat dan seterusnya melaksanakan pemantauan secara berterusan di kawasan yang dinaiki air.


Dalam pada itu, Severinus memberitahu, pihaknya juga menerima panggilan kecemasan bencana banjir di alamat Jalan Kampung Gum-Gum, Batu 16, Sandakan menerusi Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah.


Menurut pemanggil terdapat sebuah bas mini membawa murid-murid sekolah telah terperangkap di atas jalan raya yang di naiki air. 


Jelasnya, setibanya di lokasi kejadian bas mini yang dilaporkan terperangkap banjir telah berjaya di tunda oleh lori penunda dan semua murid dilaporkan selamat.

Comments


bottom of page