Warga KKDW Diseru Gandakan Usaha Santuni Masyarakat Desa - Ahmad Zahid
4 Disember 2024
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk terus menggandakan usaha menyantuni 8.1 juta masyarakat desa di seluruh negara.
Beliau berkata tiada kawasan desa harus ketinggalan dalam arus pembangunan yang sedang giat dilaksanakan.
“Saya percaya ini kelebihan yang kita lakukan juga menambat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan peruntukan tambahan kepada KKDW pada belanjawan 2025 sebanyak RM11.96 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51 peratus berbanding tahun 2024.
“Saya mahu kita terus melipatgandakan usaha dan sentiasa menyantuni masyarakat desa dan dengan inovasi yang berterusan, kita mampu memastikan kementerian kekal kompetitif dan berdaya saing melalui pemikiran kreatif,” katanya di Majlis Perhimpunan Bulanan Disember 2024 dan Sambutan Hari Inovasi dan Kualiti KKDW di sini pada Rabu, lapor Bernama.
Ahmad Zahid yang hari ini genap dua tahun menerajui kementerian itu berkata hanya menerusi inovasi berterusan sistem penyampaian perkhidmatan dapat diperkukuh, sekali gus memakmurkan masyarakat desa secara menyeluruh.
Beliau juga menggesa warga KKDW untuk mencipta lebih banyak idea baharu yang mampu menjadi pemacu utama kepada pembangunan desa, selaras dengan Aspirasi Desa Madani yang diperkenalkan sebelum ini.
Aspirasi tersebut merangkumi empat teras utama iaitu Kemahiran dan Pengetahuan, Keberkesanan dan Kecekapan, Data dan Digital serta Wow-Factor.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut menggariskan beberapa pencapaian cemerlang yang dicapai KKDW sepanjang tahun ini.
Dalam bidang pendidikan, katanya Program TVET Tahfiz berjaya melatih seramai 1,366 pelajar hingga Oktober 2024, melebihi sasaran asal 1,217 pelajar manakala Program Pra Tahfiz KEMAS pula telah melahirkan 54,885 kanak-kanak yang mampu menguasai lebih 10 surah al-Quran, menghampiri sasaran 62,175 kanak-kanak.
Selain itu, seramai 104 pelajar Orang Asli cemerlang dalam SPM 2023 dengan pencapaian 5A ke atas manakala 37 pelajar Orang Asli mencatat PNGK 2.80 ke atas dalam STPM, katanya.
Dari sudut ekonomi, menurut Ahmad Zahid KKDW mencatat prestasi memberangsangkan dengan pelaksanaan Program TVET Teknopreneur yang melatih 1,486 graduan iaitu 135.1 peratus daripada sasaran.
Beliau berkata Program Pendigitalan Usahawan Desa pula membantu 1,224 usahawan memanfaatkan platform e-dagang di lima lokasi strategik.
Dalam pembangunan infrastruktur desa katanya Projek Biogas FELCRA Jayaputra diiktiraf sebagai loji terbesar di Malaysia, selain 1,200 rumah baharu dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan 5,602 rumah dibaik pulih.
Zahid turut menggesa badan-badan berkanun di bawah KKDW untuk mengaplikasikan teknologi dan inovasi baharu dalam setiap projek dan program yang dilaksanakan.
Comments