Warisan terus serang DAP?
5 Ogos 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: DAP Sabah mendakwa terdapat banyak risalah diedarkan baru-baru ini di Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau dan daerah lain di negeri ini oleh Parti Warisan, yang berniat jahat menuduh DAP dan Pakatan Harapan (PH) menerusi pelbagai tindakan yang tidak “sekutu” oleh Parti Warisan.
Sehubungan itu Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, kecewa kerana rakan yang pernah menjadi sekutu sebelum ini melemparkan pelbagai tuduhan berniat jahat dan tidak berasas kepada parti itu.
“Kami berharap DSSA (Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal) menjelaskan isu ini sama ada didalangi oleh individu tertentu dalam parti untuk memulakan kempen fitnah dengan agenda tersembunyi atau sebaliknya.
“Tujuan utama MoU di antara PH dan kerajaan adalah untuk memastikan kestabilan politik di Malaysia melalui perjanjian bipartisan, sementara untuk melengahkan pembubaran Parlimen sehingga situasi wabak Covid-19 bertambah baik.
“Isi kandungan MoU tersebut juga tidak pernah dirahsiakan. Ia boleh diakses di laman web Parlimen Malaysia oleh orang ramai.
“Apa yang penting, MoU ini juga menggesa kerajaan memperbaharui institusi semasa, termasuk memperkenalkan undang-undang anti-lompat parti, pendaftaran secara automatik bagi Undi18 dan perkara-parkara berkaitan MA63.
“Kesemua pindaan perlembagaan ini, terutamanya RUU Anti Lompat Parti, tidak akan dapat dilaksanakan tanpa MoU. Malah, undang-undang menentang anti lompat parti juga mungkin tidak akan terlintas dalam fikiran Perdana Menteri jika ianya bukan daripada MoU tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Vivian berkata, pemeteraian MoU itu dalam apa juga situasi sekalipun tidak menterjemahkan sokongan tanpa syarat untuk menyokong kerajaan Datuk Ismail Sabri.
Katanya lagi, penolakan usul kerajaan untuk melanjutkan undang-undang SOSMA pada Mac 2022 oleh pembangkang, juga adalah sejarah pertama di Parlimen Malaysia, yang mana jelas menunjukkan komitmen DAP/ PH untuk menjadi pembangkang yang efektif dan berprinsip.
“Semua dana Ahli Parlimen yang diterima hasil daripada menandatangani MoU juga didokumenkan dengan betul dan tertakluk kepada penelitian orang ramai.
“Pembiayaan ini disediakan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan kawasan ahli parlimen masing-masing. Orang ramai boleh melihat sendiri bagaimana dan di mana pembiayaan ini digunakan.
“Seruan untuk mengundi Warisan bagi membenarkan Warisan menjadi “King Maker” adalah satu penyamaran untuk membolehkan untuk menjadi ‘kuasa ketiga’ yang pandai mengambil peluang di mana mereka boleh memilih untuk sekutu dengan sesiapa sahaja yang memenangi pilihan raya nanti, boleh jadi BN/UMNO atau parti yang lain.
Ini juga menjelaskan mengapa Warisan telah menyerang DAP/PH tanpa henti dimana ketika ini kerajaan semasa adalah BN/PN, sedangkan Warisan memanggil mereka sebagai parti pembangkang, katanya.
Commentaires