top of page

WWF-MALAYSIA LANCAR SEMULA PROGRAM LANDSKAP SABAH

nabalunews

4 DIS 2020

KOTA KINABALU: Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) secara rasmi melancarkan semula program konservasinya di Sabah yang memfokus kepada pendekatan holistik ke arah pemuliharaan melalui landskap.

Menurut satu kenyataan di sini hari ini, program itu dilancarkan semula dalam satu majlis ceramah secara maya semalam melalui siaran langsung ‘Nature Talks: What is a Landscape? Introducing Sabah Landscapes Programme (SLP)’ di laman Facebook WWF-Malaysia yang menyaksikan ahli panel berkongsi pendekatan konservasi dan apa yang dimaksudkan dengan perlindungan hidupan liar serta hutan di Sabah.

Antara penceramah ialah Ketua Konservasi WWF-Malaysia di Sabah Dr Robecca Jumin, Penasihat Kanan WWF-Malaysia Dr Glyn Davies dan Ketua Program Landskap WWF-Malaysia di Sabah Dr Faisal Mohd Noor, yang memberikan pandangan mereka mengenai program itu.

Kenyataan WWF-Malaysia menyebut bahawa program itu menggabungkan konservasi dan pembangunan mampan dengan mengintegrasikan perlindungan hutan, hidupan liar serta sungai dengan mengadakan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) mengenai pensijilan pengeluaran minyak sawit, pemulihan koridor ekologi dan rizab riparian.

“SLP bertujuan menyokong dasar sedia ada di Sabah bagi melindungi 30 peratus daripada hutan hujannya menjelang 2025 dan mengekalkan 50 peratus litupan hutan serta mencapai 100 peratus pensijilan RSPO menerusi pendekatan certification through the jurisdictional approach by 2025,” menurut kenyataan itu.

WWF akan berusaha melibatkan diri dengan masyarakat setempat di landskap yang dikenal pasti bukan hanya untuk berkongsi langkah-langkah intervensi yang dicadangkan di kawasan itu tetapi juga menerima input dan maklum balas daripada mereka yang berada di lapangan. Kesemua maklumat boleh disalurkan melalui contactslp@wwf.org.my. – Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page