top of page
nabalunews

Yayasan Bank Rakyat sampaikan bantuan awal persekolahan kepada SK Mangkapon dan SK Bongkol Pitas




5 November 2024


PITAS: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu masyarakat menerusi pemberian bantuan awal pengajian kepada lima pelajar universiti, serta bantuan awal persekolahan berupa beg sekolah dan wang tunai RM50 kepada 183 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkapon dan SK Bongkol, Pitas sebagai sokongan awal bagi sesi persekolahan tahun depan, pada Isnin.


Program dengan kerjasama Koperasi Kraftangan Kampung Sinukab Kanibongan Berhad ini telah berlangsung di SK Mangkapon dan SK Bongkol, Pitas dan disempurnakan oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang.


Turut hadir dalam majlis ini, Pengerusi Koperasi Kraftangan Kampung Sinukab Kanibongan Berhad, Junsim Rumunzing; Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Vedron Bahanda, Watson Worison; Guru Besar SK Mangkapon, Lotin Maguning; dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mangkapon, Juniol Masingkin.


Bantuan awal persekolahan ini diterima oleh para ibu bapa pelajar.


Dalam ucapannya, Junsim yang juga Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat merangkap Timbalan Setiausaha Agung UPKO Pusat, melahirkan penghargaan kepada YBR atas inisiatif mereka membantu pelajar luar bandar.


Beliau menegaskan bahawa usaha ini adalah langkah penting untuk menangani kemiskinan melalui pendidikan, khususnya bagi anak-anak di kawasan pedalaman.


Junsim juga menyampaikan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang telah memberikan sokongan terhadap program YBR untuk membantu pelajar dari kawasan Bengkoka, yang tergolong antara daerah termiskin di Sabah.


Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Philip menekankan kepentingan memastikan bantuan disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.


Beliau juga meminta para ibu bapa agar terus memberi sokongan bagi pendidikan anak-anak mereka demi memastikan mereka mencapai kejayaan akademik.


Sebagai sebahagian daripada komitmen YBR dalam menyokong kemudahan pendidikan, Philip turut mengumumkan sumbangan tambahan berupa 100 buah kerusi kepada SK Mangkapon, atas permintaan Guru Besarnya, Lotin Maguning.

Comments


bottom of page