Yayasan Sabah komited jadikan Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Canyon, Tapak Warisan Dunia UNESCO
16 Disember 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
KINABATANGAN : Yayasan Sabah komited untuk merealisasikan hasrat menjadikan Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Canyon sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang kedua di negeri ini.
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata hasrat itu juga telah dimaklumkan kepada pihak kerajaan bagi penilaian lanjut.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di perasmian Hari Terbuka Imbak Canyon, Tongod, di sini, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman.
Menerusi ucapan Gulamhaidar yang dibacakan oleh Hanafiah, Yayasan Sabah juga sentiasa komited dalam menjaga Imbak Canyon yang kaya dengan spesies flora dan fauna.
Imbak Canyon juga mempunyai keunikan geologi yang mampu memberi nilai saintifik serta estetik sekaligus lokasi terbaik menjalankan penyelidikan oleh penyelidik dalam dan luar negara serta potensi ekopelancongan setempat.
Seramai 40 wakil komuniti dan pemimpin serta belia dari Mukim Tongod, Entilibon, Pinangah, dan Kuamut, Kinabatangan menghadiri Hari Terbuka Imbak Canyon.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tongod, Yusrie Ismail Yusof, Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar KYS, Dr. Waidi Sinun, Pegawai Perhutanan Wilayah Sandakan, Jurimin Ebin bagi mewakili Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin dan kira-kira 250 hadirin.
Program berkenaan adalah antara program yang dilaksanakan di bawah Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Sabah Environmental Trust (SET) selain jabatan dan agensi kerajaan negeri Sabah melalui Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Ia dalam konteks kerjasama Inisiatif Rondaan (Penguatkuasaan dan Pemantauan) di Landskap Hutan Hujan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak (DaMaI).
Peserta yang ditemui juga merakamkan penghargaan atas jemputan ke majlis itu di mana mereka juga bangga kerana kawasan persekitaran kampung mereka masih dikelilingi oleh hutan dara yang dilindungi sepenuhnya oleh warta kerajaan.
Manakala usaha pihak Yayasan Sabah dan rakan kerjasama yang lain di Kanyon Imbak diharap dapat diteruskan demi untuk generasi akan datang, kata mereka.
留言