top of page
  • Wartawan Nabalu News

YBR hulur bantuan persekolahan bernilai RM28,550 di SK Kopuron

6 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TELUPID: Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah meluluskan Bantuan Persekolahan berjumlah RM28,550 dan sebanyak 571 unit beg sekolah tajaan Yayasan Bank Rakyat telah diberikan kepada pelajar yang terpilih dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopuron, Telupid.


Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang berharap bantuan ini dapat memberi semangat kepada pelajar untuk mencapai cita-cita mereka dan menjadi kebanggaan keluarga.


"Saya berharap, dengan penyerahan bantuan ini ia akan membantu anak-anak untuk bersemangat demi menggapai cita-cita yang diimpikan.


"Bantuan ini termasuk setiap pelajar menerima RM50 secara tunai, dan saya mohon kerjasama daripada ibu bapa untuk membantu anak-anak dengan menyediakan kelengkapan persekolahan yang diperlukan," katanya dalam ucapan perasmian majlis tersebut di sini baru-baru ini.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah guru besar Wahine Yukun, dan Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang.


Beliau juga memberikan nasihat sebagai seorang bapa agar pelajar terus berusaha menuntut ilmu tanpa mudah mengalah.


"Belajarlah selagi hayat dikandung badan, jangan mudah mengalah dan terus berusaha demi mengapai ilmu pengetahuan," pesannya.


Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Peniaga Telupid Sabah atas usaha mereka yang berjaya membawa manfaat kepada anak-anak di daerah Telupid.


"Kalau tidak disebabkan permohonan ini, mana mungkin saya bersama warga kerja YBR dapat turun menghulurkan bantuan di kawasan ini," tambahnya.


Majlis ini turut dianggap istimewa oleh Philip kerana ia menyaksikan sokongan yang padu dari para pelajar dan ibu bapa.


"Kita dapat melihat para pelajar dan ibu bapa berkumpul untuk menyokong akan usaha yang diberikan bagi merealisasikan mutu pendidikan yang terbaik kepada anak-anak," ujarnya.

Comments


bottom of page