YBR perkasa komuniti dengan bantuan CSR di Kota Marudu
15 Januari 2025
KOTA MARUDU: Yayasan Bank Rakyat (YBR) melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pemberian sumbangan kepada individu memerlukan di daerah ini.
Dalam program CSR baru-baru ini, dua katil boleh laras telah disampaikan kepada penerima dari dua kampung berlainan. YBR merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang dipimpin oleh Datuk Ewon Benedick.
Maijon Empak dari Kampung Rasak Darat dan Jongmy Jibi dari Kampung Botition menerima bantuan tersebut yang diserahkan oleh Pengerusi Koperasi Progresif Bandau Berhad, Jamil Majingkin.
Jamil menjelaskan, program We Care Marudu (WCM) yang dijalankan bersama YBR bertujuan mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan dan menyampaikan sumbangan secara terus.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada penerima tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan dalam masyarakat,” katanya.
Kedua-dua penerima, Maijon dan Jongmy, menzahirkan penghargaan atas bantuan yang diterima.
Sementara itu, program CSR ini menjadi sebahagian daripada misi YBR untuk memperkasakan komuniti melalui inisiatif yang berimpak tinggi. Menurut Jamil, YBR komited untuk meneruskan usaha membantu masyarakat dengan pendekatan yang inklusif dan konsisten.
Jamil yang juga merupakan Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sokongan beliau terhadap program-program YBR.
Jamil menegaskan, pelbagai inisiatif CSR akan terus dilaksanakan demi kebajikan masyarakat di seluruh Kota Marudu.
Majlis tersebut turut dihadiri beberapa pemimpin setempat seperti Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Matlunad Agok, serta Ketua Wanita Norisah Mongintal.
Comments