Wartawan Nabalu News
YBR salur RM3 juta laksana Ehsan@KUSKOP
30 Disember 2024
KOTA BELUD: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk menjayakan Program Ehsan @Kuskop di negeri ini, selama setahun pada tahun depan.
Program Ehsan@KUSKOP itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, pada Program Santuni Madani KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Ehsan@KUSKOP adalah program pembangunan pendidikan melibatkan tiga daerah iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat selama setahun pada tahun depan.
Pelaksanaan program itu adalah bagi menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan di mana Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan bagi meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar- pelajar yang kurang bernasib baik terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar.
Menurut kenyataan YBR, bantuan ini akan melibatkan kumpulan individu dari kalangan asnaf dan B40 di kawasan Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.
Ia juga dijangka seramai lebih 65,000 pelajar akan menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan ini,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Penyerahan replika cek Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025 telah disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud semasa Program Santuni Madani KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud,.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman, Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
YBR akan terus memberi sokongan bagi meningkatkan pembangunan modal insan di Sabah khususnya dikalangan pelajar melalui bidang pendidikan.
Sepanjang tahun ini, YBR telah memperuntukan sebanyak RM20.4 juta bagi program pembangunan pendidikan dan pembangunan masyarakat di seluruh negara.
Melalui bantuan awal pengajian dan bantuan persekolahan sahaja, seramai 30,572 murid dan pelajar IPT serta 226 buah sekolah telah menerima manfaat daripada inisiatif ini.
Comments