YBR sampaikan bantuan awal persekolahan lepada 337 murid SK Bongkol
14 Disember 2024
PITAS: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan komitmen untuk membantu memperkasakan pendidikan di kawasan luar bandar menerusi penyerahan bantuan awal persekolahan kepada 337 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bongkol dan 5 orang penerima bantuan awal pengajian universiti dalam satu majlis di Dewan Mabahan Bongkol, di sini.
Dalam majlis pada Khamis ini, murid-murid menerima sumbangan beg sekolah dan wang ehsan sebanyak RM50 seorang, yang bertujuan meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kudat, Junsim Rumunzing, yang mewakili Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang.
Dalam ucapannya, Junsim menekankan pentingnya memanfaatkan bantuan daripada YBR, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“KUSKOP kini diterajui oleh Datuk Ewon Benedick, Presiden UPKO, yang telah membawa perubahan signifikan kepada Sabah. Kemudahan yang dahulunya tertumpu di Semenanjung Malaysia kini sampai ke negeri ini yang membuktikan bahawa kepimpinan Sabah mampu memberi impak besar kepada rakyatnya,” ujar Junsim, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah.
Majlis turut dihadiri oleh London Gogomboh, wakil Guru Besar SK Bongkol, bersama guru-guru, 600 ibu bapa dan penduduk setempat.
"Program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan material tetapi juga memberi motivasi kepada pelajar dan ibu bapa untuk terus mengutamakan pendidikan sebagai asas kejayaan masa depan.
"Dengan inisiatif seperti ini, YBR menunjukkan komitmen untuk memastikan pendidikan menjadi keutamaan, khususnya di kawasan pedalaman.
"Kerjasama antara agensi kerajaan, pihak sekolah, dan masyarakat diharap akan terus memacu pembangunan pendidikan yang inklusif di Malaysia," kata Junsim.
Comments