YBR sampaikan sumbangan bantuan awal pengajian kepada pelajar kawasan Membakut, Kimanis
29 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
BEAUFORT: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyampaikan sumbangan Bantuan Awal Pengajian kepada 26 pelajar kawasan Membakut dan Kimanis, hari ini yang dianjurkan unit Pendidikan Persatuan Usahawan wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE).
Setiap pelajar yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) masing-masing menerima sebanyak RM500 untuk meringankan bebanan kewangan.
Majlis disempurnakan oleh Ahli Lembaga Yayasan Bank Rakyat Junik Bajit mewakili Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Lasimbang.
Ketika berucap pada majlis itu, Junik memuji inisiatif USHWANE dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan untuk membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan bantuan, pada masa akan datang.
“Inisiatif ini adalah anjuran Unit Pendidikan Persatuan USHWANE dan atas usaha bersungguh-sungguh Puan Rowindy Lawrence Odong selaku Pengerusi Persatuan USHWANE.
“Tahniah kepada semua penerima (pelajar dan wakil ibu bapa) semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kewangan untuk pengurusan sambung pengajian ke IPTA/S,” katanya.
Sementara itu, Rowindy turut menyeru ibu bapa yang berniaga supaya mendapatkan maklumat berkenaan skim-skim yang ditawarkan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Maklumat lanjut mengenai pembiayaan boleh diperolehi di mana-mana pejabat negeri atau cawangan agensi kementerian atau melayari laman web kementerian dan agensi berkenaan terutamanya skim yang dikhususnya untuk Sabah dan Sarawak di bawah Tekun Nasional yang dilancarkan oleh Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick awal tahun ini,” katanya.
Rowindy juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat atas sumbangan berterusan dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan.
Comments