top of page
nabalunews

YBR sentiasa berkolaborasi dengan mana-mana agensi salurkan bantuan kepada golongan sasar



26 Oktober 2024


TENOM: Yayasan Bank Rakyat (YBR) sentiasa berkolaborasi dengan mana-mana agensi, sekolah serta badan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Sabah dan Malaysia amnya untuk menyalurkan bantuan kepada golongan sasar.


Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat (YBR) Junik Bajit berkata, ini kerana YBR memahami bahawa bantuan-bantuan berkenaan amat diperlukan lebih-lebih lagi di negeri Sabah dan juga di daerah-daerah pedalaman seperti di daerah Tenom ini.


Katanya, YBR yakin dan percaya hanya pendidikan yang baik dapat membantu anak-anak keluar daripada kepompong kemiskinan selain dapat membantu keluarga mereka keluar daripada kemiskinan.


Junik berkata demikian kepada media ketika ditemui pada program penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) IPTA/IPTS Daerah Tenom di Dewan Kompleks Sukan di sini pada Sabtu.


Pada program itu seramai 135 pelajar IPTA/IPTA dari sekolah-sekolah di Daerah Kecil Kemabong dan Daerah Tenom termasuk 13 pelajar tingkatan 6 menerima bantuan one off daripada YBR dengan nilai keseluruhan RM64,500.


"Setiap pelajar IPTA/IPTS masing-masing menerima sebanyak RM500 seorang dan untuk tingkatan 6, RM200 seorang" katanya.


Junik memberitahu, antara lain objektif program ini ialah untuk meringankan beban ibu bapa semsa anak-anak mereka memulakan pengajian.


"YBR memahami bahawa perbelanjaan yang ditanggung oleh ibu bapa pelajar ini agak berat kerana walaupun mungkin kita nampak banyak pinjaman yang boleh tawarkan oleh IPTA atau pun IPTS tetapi pelajar itu perlu mendaftar terlebih dahulu sebagai pelajar.


Dan bila pelajar itu sudah mendaftar sebagai pelajar barulah bantuan-bantuan boleh dipohon oleh pelajar" jelasnya.


Sehubungan itu katanya bantuan RM500 itu sedikit sebanyak dapat membantu untuk proses pendaftaran atau pun membeli barangan keperluan yang diperlukan oleh pelajar itu di kampus Universiti atau Kolej yang mereka masuki.


Jelas Junik lagi, kebanyakan ibu bapa pelajar yang difokuskan adalah dari keluarga B40, sesuai dengan wawasan YBR untuk menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan.


Pada masa sama Junik merakamkan penghargaan kepada Persatuan Etnik Murut Timugon Sabah (PEMTS) dan Persatuan Hijau Rimbun Sabah yang memberikan kerjasama dalam penganjuran program ini.


コメント


bottom of page