top of page
  • Wartawan Nabalu News

YBR serah bantuan persekolahan bernilai RM21 ribu di SK Tampasak, Kinarut




6 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PAPAR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah meluluskan Bantuan Persekolahan berjumlah RM21 ribu dan sebanyak 420 unit beg sekolah tajaan Yayasan Bank Rakyat akan diagihkan kepada pelajar yang layak dalam majlis penyerahan bantuan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tampasak, Kinarut.


Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang menyatakan harapannya agar bantuan ini dapat memberi suntikan semangat kepada para pelajar.


“Melihat kepada usaha ini, ia diharapkan dapat memberi sedikit suntikan semangat dalam diri anak-anak demi mencapai keputusan yang terbaik sekali gus membanggakan keluarga, masyarakat dan negara.


"Saya juga berharap, dengan penyerahan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dalam usaha menyediakan kelengkapan pembelajaran sepanjang sesi persekolahan anak-anak tahun ini," katanya sebelum merasmikan majlis tersebut pada Rabu.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional Datuk Gilbert Syam.

Selian itu, Philip turut menekankan kepentingan pendidikan dan menyeru para pelajar untuk terus berusaha dalam mencari ilmu.


“Ingatlah anak-anak, jangan pernah tewas dalam usaha mencari ilmu kerana tanpa ilmu belum tentu bangunan pencakar langit mampu untuk dibina dan tanpa ilmu mustahil untuk kita menjadi insan yang berguna,” katanya.


Dalam pada itu, beliau juga berkongsi tentang kejayaan YBR sejak penubuhannya pada tahun 2007 dalam menyediakan pelbagai program bantuan kewangan dan sokongan moral kepada masyarakat.


"Kami telah berjaya mewujudkan pelbagai program bantuan kewangan dan sokongan moral kepada setiap lapisan masyarakat bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat di Malaysia ke arah kesejahteraan yang stabil," jelas Philip.


Philip turut menyatakan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Komuniti Papar atas inisiatif mereka yang membantu meringankan beban kewangan pelajar di daerah Papar. "Saya ingin mengucapkan jutaan syabas dan tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Komuniti Papar kerana sentiasa merencanakan pelbagai inisiatif yang dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar di daerah Papar ini," tambahnya.

Kommentare


bottom of page