top of page
Wartawan Nabalu News

YBR sumbang lebih RM90 ribu untuk program pendidikan di Kadamaian

Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan YBR sebanyak RM30,000 kepada Animah, turut kelihatan, Philip (kanan) dan Syaiful (dua dari kanan).

27 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan sejumlah RM90,030 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) untuk melaksanakan program-program pendidikan di kawasan Kadamaian.


Penerima sumbangan itu ialah Majlis Guru Besar Zon Selatan Kota Belud, SK Melangkap, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah daerah Kadamaian dan Gabungan Kelab-Kelab Belia Daerah Kota Belud.


Majlis ringkas penyerahan sumbangan itu yang dihadiri oleh Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang dan Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, diadakan di Pusat Khidmat Adun Kadamaian.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berharap sumbangan itu dapat membantu menjayakan program-program yang telah dirancang oleh persatuan dan sekolah berkenaan.

Ewon (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan YBR kepada Jaenry, turut kelihatan Philip (kiri sekali) dan Syaiful (kanan).

“Yayasan Bank Rakyat adalah satu organisasi di bawah kementerian saya yang memfokuskan pembangunan pendidikan, selain 10 agensi lain yang memfokuskan pembangunan keusahawanan.


“Saya berharap YBR akan terus memberi sokongan program-program pendidikan di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar di Sabah,” katanya.


Sementara itu, para penerima sumbangan merakamkan ucapan terima kasih kepada YBR dan juga kepada Ewon atas keprihatinan terhadap keperluan para pelajar sekolah.


Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Selatan Kota Belud Jaenry Sinteh berkata, dengan bantuan itu, sebanyak 13 program yang telah dirancang tahun ini dan tahun depan dapat laksanakan.

“Kami menerima bantuan sejumlah RM30,000 daripada YBR untuk membantu menjayakan pelaksanaan Program Kapasiti Guru Zon Selatan yang telah pun dimulakan sejak 2 Julai lalu sehingga 29 Ogos 2025,” katanya.


Penolong Pesurujaya Pengakap Daerah kawasan Kadamaian Unit pentadbiran Animah Yunus turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YBR atas keprihatinan memberikan sumbangan sebanyak RM30,000.


“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon, kerana atas keprihatinan dan inisiatif beliau, kami menerima bantuan daripada YBR untuk melaksanakan Program Pra Jambori Borneo Bahagian Pantai Barat Borneo dan Kembori Pengakap Kadamaian kali ke-2.


“Program ini akan diadakan pada Oktober ini di Pusat Pelancongan Kg.Tambulion dan SK Tambulion yang akan dihadiri kira-kira 1,000 peserta.


“Bantuan ini sedikit sebanyak akan membantu pelaksanaan Pra Jambori Borneo ini nanti,” katanya.


Timbalan Pengerusi Tetap Gabungan Kelab-Kelab Belia Daerah Kota Belud, Nurul Syuhadah Salim berkata, bantuan sebanyak RM25,000 daripada YBR akan digunakan untuk membantu para pelajar yang memerlukan bantuan, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.


“Terima kasih kepada Datuk Ewon kerana atas keprihatinan beliau, kami menerima sumbangan daripada YBR untuk kami gunakan membeli keperluan para pelajar kurang berkemampuan,” katanya.

Ewon menyampaikan sumbangan YBR kepada Beatrice, turut kelihatan Philip (kiri) dan Syaiful (kanan).

Penyelaras Program Tuah Prisma (Murid Berkeperluan Khas) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud Beatrice Johan berkata, bantuan itu akan digunakan untuk membantu melaksanakan program khusus untuk murid bekeperluan khas di kawasan Kadamaian.


“Terima kasih kepada YBR dan Datuk Ewon, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan termasuk pelajar berkeperluan khas,” katanya.


Wakil SK Melangkap Funnah Lumabai turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YBR atas sumbangan sebanyak RM7,000 kepada sekolah berkenaan bagi menjayakan Program Karnival Bahasa Melayu Sekolah Rendah Peringkat Zon Selatan.


Comments


bottom of page