YBR tawar biasiswa kepada pelajar diploma dan ijazah sarjana muda UKKM: Ewon

18 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), hari ini, memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penajaan biasiswa kepada pelajar di pusat pengajian berkenaan.
Menerusi persefahaman itu, YBR memperuntukan sejumlah RM4.08 juta untuk tempoh tiga tahun bagi menaja biasiswa kepada pelajar terpilih.
Difahamkan, jalinan kerjasama itu bermula pada tahun ini hingga 2027 dan bakal memberi manfaat kepada 35 pelajar UKKM setiap tahun.
Kerjasama itu juga bertujuan untuk membuka peluang kepada pelajar yang berminat dalam bidang keusahawan dan pengurusan koperasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di UKKM.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama itu adalah bagi menyokong usaha meningkatkan sosioekonomi negara melalui pendidikan.
Katanya, usahasama antara YBR dan UKKM itu juga akan menjadi motivasi serta pembakar semangat kepada pelajar untuk memartabatkan bidang koperasi dan keusahawanan sebagai agen perubahan.
“Semoga inisiatif ini menjadi salah satu komponen penting dan strategik dalam memacu negara ke arah mencapai status negara maju dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas menyaksikan Majlis Tandatangan MOU antara YBR dan UKKM di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu memorandum persefahaman itu ditandatangani bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UKKM, Professor Datuk Dr. Azali Mohamed.
Turut hadir, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict; Pengerusi UKKM, Datuk Wira Dr. Rosli Mat Hassan; Ketua Setiausaha, KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud serta Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar.
Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang berkata, kerjasama antara YBR dan UKKM selari dengan inisiatif agensi untuk membantu pelajar-pelajar berpotensi mendapat pendidikan sama rata.
Katanya, usahasama itu juga sangat bersesuaian dengan visi dan objektif penubuhan YBR iaitu membantu masyarakat yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.
“YBR akan sentiasa menyokong ekosistem koperasi dan keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara ke arah sebuah keusahawanan yang terancang dan bersepadu,”katanya.
Untuk rekod, sehingga tahun lalu, seramai 7,468 pelajar ditawarkan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) YBR melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM212.43 juta.
Comments