top of page
nabalunews

YPNM pantau penyebaran virus HPMV



David Chan, pengerusi YPNM

9 January 2025

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah akan memantau dengan teliti penyebaran virus HPMV di China yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan ekonomi di Malaysia.


Pengerusinya, David Chan berkata, ia kerana Malaysia pernah mengalami bagaimana pandemik COVID-19 menyebabkan kekurangan makanan ruji di seluruh dunia, yang menekankan keperluan mendesak untuk menjamin keselamatan makanan.


"Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan Persekutuan untuk memberi keutamaan kepada isu ini dengan melaksanakan langkah-langkah bagi memperkukuhkan rantaian bekalan makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import," katanya.


Sementara itu, David juga menggesa kerajaan Persekutuan agar segera menangani kenaikan kos sara hidup yang kini membebankan rakyat.


Katanya, walaupun pihaknya mengakui usaha kerajaan dalam meningkatkan gaji sektor awam dan swasta baru-baru ini melalui pelarasan gaji untuk membantu mengurangkan kesan inflasi, namun langkah tambahan masih diperlukan untuk meringankan beban kewangan rakyat.


David berkata, baru-baru ini, terdapat aduan daripada orang ramai mengenai kenaikan tambang bas sekolah.


"Walaupun perkara ini mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati, kita perlu menerima hakikat bahawa inflasi, kos penyelenggaraan yang meningkat, serta kenaikan kos tenaga kerja seperti alat ganti dan upah mekanik, adalah faktor yang menyumbang kepada situasi ini.


Justeru, adalah wajar tambang bas sekolah diselaraskan semula supaya pengendali dapat meneruskan perkhidmatan mereka" katanya.


David berkata, dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup ini, YPNM akan terus berwaspada dan memperjuangkan dasar-dasar yang melindungi kebajikan rakyat.


"Kami percaya dengan perancangan dan kerjasama yang baik, Malaysia mampu mengharungi cabaran ekonomi ini sambil menjaga kepentingan rakyatnya," katanya.

Comments


bottom of page