YPNM Sabah Sambut Baik Keputusan Kabinet Negeri Berkenaan Subsidi Elektrik
22 Disember 2024
KOTA KINABALU : Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah, David Chan, menyambut baik keputusan Kabinet negeri Sabah untuk memperuntukkan subsidi sebanyak RM50.9 juta bagi meringankan beban Pemindahan Kos Ketidakseimbangan atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) ke atas tarif elektrik, berkuat kuasa dari 1 Januari hingga 30 Jun 2025.
Inisiatif ini, yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Melalui subsidi ini, isi rumah dengan penggunaan elektrik di bawah RM677 (kira-kira 1,500 kwh) dan PKS akan terus menikmati kadar khas, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kewangan.
Untuk rekod, pengguna di Sabah masih menikmati tarif elektrik yang lebih rendah berbanding di Semenanjung Malaysia.
Melangkah ke hadapan, David berkata YPNM optimis bahawa Kerajaan Perpaduan Madani akan menangani isu-isu utama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Penyelesaian terhadap isu-isu ini, terutamanya dalam sektor minyak dan gas, akan membawa manfaat besar kepada Sabah, memperkukuh kedudukan ekonomi dan autonomi negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di samping itu katanya YPNM turut mengalu-alukan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke 11.
"Pelantikan ini yang diperkenankan
oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mencerminkan penghormatan terhadap proses perlembagaan.
"Kami menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan pelantikan ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memupuk perpaduan dan kemajuan untuk negeri Sabah," katanya.
Comments