Yusof Apdal sahkan bertanding jawatan Yang Dipertua USIA
5 November 2024
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal mengesahkan akan bertanding jawatan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) pada Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA kali ke-38 pada 7 Disember ini.
Setelah menerima surat pengesahan layak bertanding, Yusof berkata keputusan bahagian-bahagian USIA yang mencalonkan beliau untuk menerajui Pertubuhan itu bagi sesi 2025-2027, sewajarnya dihargai.
'Saya dengan ini mengesahkan untuk bertanding jawatan Yang Dipertua, sebagai menghargai pencalonan yang dibuat oleh Bahagian-bahagian, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Yusof berkata pencalonan-pencalonan yang diterima menunjukkan kematangan bahagian-bahagian USIA dalam menegakkan demokrasi dalam Pertubuhan itu.
"Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Bahagian-bahagian yang telah menamakan saya sebagai calon Yang Dipertua USIA," katanya.
Yusuf berkata niat dan matlamatnya untuk bertanding adalah untuk melonjakkan semula peranan USIA dalam bidang dakwah dengan azam supaya USIA KEMBALI KE PANGKAL JALAN.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dakwah USIA tidak serancak sebelumnya.
"Ahli-ahli USIA di peringkat Bahagian sering tertanya-tanya mengapakah perkara seperti ini berlaku, sedangkan dakwah merupakan 'Core Business' USIA.
Terpanggil dengan rintihan mereka ini, maka saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi di dalam USIA," katanya.
Naib Yang Dipertua Kanan USIA, Madaile Basri turut mengesahkan untuk bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua USIA.
Madaile akan berganding dengan Yusof dan bertekad untuk menjadikan USIA lebih berperanan sebagai NGO Islam yang melaksanakan dakwah mengikut acuannya sendiri.
Madaile turut menzahirkan kekecewaan kerana USIA yang ada sekarang seolah-olah kehilangan arah untuk melaksanakan gerakan dakwah.
Comments