Ziarah Kasih CLC UPKO Bandau Perkukuh Hubungan Komuniti Kota Marudu

18 Mac 2025
KOTA MARUDU: Program Ziarah Kasih anjuran Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Bandau Kota Marudu berjaya memperkukuh hubungan antara masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan silaturahim. Program ini berlangsung pada 16 Mac 2025 di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Batu, melibatkan Kampung Koromoki dan Kampung Mantus.
Ketua CLC UPKO Bandau, Suzie Salapan, menyatakan bahawa Ziarah Kasih bukan sekadar lawatan sosial tetapi satu usaha menyelami keperluan masyarakat secara lebih mendalam. Program ini turut menyampaikan bantuan kebajikan berupa beras kepada golongan memerlukan, bagi meringankan beban kehidupan harian mereka.
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin, Ketua Pemuda UPKO Kota Marudu, Pillexson James, Ketua PDM Tanjung Batu, Zakaria Okor, Naib 2 UPKO Kota Marudu, Badurun Tamam, serta ahli jawatankuasa CLC UPKO Bandau.

Menurut Jamil, Ziarah Kasih bukan sekadar inisiatif bermusim tetapi merupakan usaha berterusan untuk memastikan UPKO Kota Marudu sentiasa dekat dengan rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau agama.
"Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara parti dan masyarakat tetapi juga membina kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan tempatan. Ini selaras dengan misi UPKO untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat," katanya.
Dalam program tersebut, rombongan UPKO Kota Marudu turut menziarahi keluarga Jamilah Sambin di Kampung Masin Asin, Kota Marudu. Keluarga ini baru sahaja kehilangan anak mereka akibat kemalangan jalan raya di Pulau Pinang, dengan jenazah telah selamat dikebumikan pada 14 Mac 2025.

Suzie, menyatakan bahawa UPKO sentiasa berusaha memberi sokongan kepada masyarakat, terutama mereka yang sedang menghadapi ujian berat.
"Kami berharap keluarga ini diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Kami akan terus memberi sokongan kepada masyarakat dalam apa jua keadaan," katanya.
Seterusnya, rombongan menyantuni rakan-rakan di PDM UPKO Kampung Tanjung Batu dalam majlis Berbuka Puasa, sebagai tanda perpaduan dan semangat kebersamaan dalam komuniti.
Comentarios