top of page
nabalunews

Zon Maritim Sandakan rampas RM90.32 juta dalam 67 siri tangkapan di laut sepanjang tahun 2024


31 Disember 2024


SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan merekodkan kejayaan rampasan sebanyak RM90.32 juta dalam 67 siri tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di perairan negara sepanjang tahun 2024.


Dalam tempoh yang sama, seramai 136 orang ditahan dan 26 orang telah didakwa di mahkamah.


Menerusi satu kenyataan media disini pada Selasa, Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy


Hussain, berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 23,705 pemeriksaan vesel dilakukan dengan hampir 52,151 orang telah diperiksa dalam tempoh yang sama.


Jelasnya, Maritim Malaysia komited menangani jenayah di laut dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang negara termasuk menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut.


"Zon Maritim Sandakan turut menjalankan kempen kesedaran keselamatan di laut bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti maritim tentang keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut." Tambahnya.


Jelasnya, Zon Maritim Sandakan juga sentiasa meningkatkan kawalan dan kesiagaan di laut bagi mengawal 9,435 km² keluasan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) merangkumi panjang pantai 416.3 km bermula dari Pulau Jambongan sehingga ke Pulau Tambisan iaitu sepanjang perairan daerah Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.


Ia untuk memastikan perairan negara selamat dan aman kepada komuniti maritim.


Katanya, sepanjang tahun 2024 juga, Zon Maritim Sandakan telah melaksanakan sebanyak 173 Taklimat Pencegahan CARILAMAT (Preventive SAR) iaitu 152 dilakukan oleh aset gang berada di laut.


Manakala 21 lagi melalui taklimat yang dilakukan di sekolah dan pejabat Zon Maritim Sandakan dengan penglibatan melebihi 1,500 orang peserta dari kalangan pelajar, persatuan serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.


Dalam pada itu, ujarnya, sepanjang tahun 2022-2024, seramai 57 orang dan RM3.21 juta harta benda juga telah berjaya diselamatkan.


Suhairy juga mengingatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).


Beliau turut menasihatkan orang ramai agar memaklumkan destinasi dituju kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi. 


Comments


bottom of page